Sunday, 9 December 2012

PANTUN NASIHAT


Tumbuh melata si pokok tebu,
Pergi pasar membeli daging;
Banyak harta tak ada ilmu,
Bagai rumah tidak berdinding.

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Kemumu di tengah pekan,
Dihembus angin jatuh ke bawah;
Jika ilmu tidak diamalkan,
Bagai pohon tidak berbuah.

Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa ;
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.

Daun sirih ulam Cik Da,
Makan sekapur lalu mati;
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.
  
Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan;
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.

Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.

Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana;
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan berjaya.

Buah cempedak bentuknya bujur,
Sangat disukai oleh semua;
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.

Kayu bakar dibuat arang,
Arang dibakar memanaskan diri;
Jangan mudah menyalahkan orang,
Cermin muka lihat sendiri .

Selasih tumbuh di tepi telaga,
Selasih dimakan si anak kuda;
Kasih ibu membawa ke syurga ,
Kasih saudara masa berada.
  
Kapal Anjiman belayar lesu,
Nampak dari Kuala Aceh;
Rosak iman kerana nafsu,
Rosak hati kerana kasih.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pangkal kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada ibu dan juga bapa.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak ditaati,
Mana yang dapat jangan dilupa.


No comments:

Post a Comment