Thursday, 13 December 2012

Sajak : Guru oh guru


Dialah pemberi paling setia 
Tiap akar ilmu miliknya 
Pelita dan lampu segala 
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat 
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat 
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat 
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa 
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta 
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara 
Jika hari ini seorang ulama yang mulia 
Jika hari ini seorang peguam menang bicara 
Jika hari ini seorang penulis terkemuka 
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; 
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa 
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya 
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota 
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu 
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
 
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa 
Semakin bererti tugasnya kepada negara. 
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku 
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu 
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat 
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 
1979

 

Tuesday, 11 December 2012

Tentang malam....


Assalamualaikum...

Mata tak mahu lelap lagi..jadi, jengah-jengah blog sekejap. Saya memang suka suasana malam, damai je..sebab tu kot 'sayang' nak lelap mata. Malam-malam ni teringin lak bersajak...Jom layann


TENTANG MALAM

Malam adalah misteri alam yang tak terungkap
atau aku memang senang bicara
tentang malam

ringkas...
mudah...
gelap...
tapi penuh muslihat

langit tertidur,
angin berhembus pelan,
tak berani mengusik
takut daun-daun berisik

lengang...
senyap...
sunyi...
hening...

Sunday, 9 December 2012

PANTUN NASIHAT


Tumbuh melata si pokok tebu,
Pergi pasar membeli daging;
Banyak harta tak ada ilmu,
Bagai rumah tidak berdinding.

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

Kemumu di tengah pekan,
Dihembus angin jatuh ke bawah;
Jika ilmu tidak diamalkan,
Bagai pohon tidak berbuah.

Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa ;
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.

Daun sirih ulam Cik Da,
Makan sekapur lalu mati;
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.
  
Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan;
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.

Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.

Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana;
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan berjaya.

Buah cempedak bentuknya bujur,
Sangat disukai oleh semua;
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.

Kayu bakar dibuat arang,
Arang dibakar memanaskan diri;
Jangan mudah menyalahkan orang,
Cermin muka lihat sendiri .

Selasih tumbuh di tepi telaga,
Selasih dimakan si anak kuda;
Kasih ibu membawa ke syurga ,
Kasih saudara masa berada.
  
Kapal Anjiman belayar lesu,
Nampak dari Kuala Aceh;
Rosak iman kerana nafsu,
Rosak hati kerana kasih.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pangkal kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada ibu dan juga bapa.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak ditaati,
Mana yang dapat jangan dilupa.


Thursday, 29 November 2012

Sajak : Obor Hemah


Guru adalah awan indah terbang rendah, 
melimpahkan hujan pada musim gersang, 
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah; 
ia renjis embun pada tanah bakat, 
suara ihsan ketika manusia kalah, 
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor, 
ketika sejarah dalam bilik darjah, 
senyum penyembuh bagi wabak sengsara, 
ia - sungai rangsang sentiasa tenang, 
menghantar bahtera ke segara dharma, 
memesan angin menghikmahkannya.

Gnru adalah penelaah yang tekun, 
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, 
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, 
ia mengemudi biduk, melepaskannya, 
atas lambungan laut, merangsangkan 
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar, 
menghidupkan batin yang bersih 
di daerah dunia cemar kasih, 
dan pada ketika tak tersangkakan, 
walau diambilnya kemball semua buku, 
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani, 
penjunjung budi, manusia yang takwa, 
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID

2 APRIL 1988 



Tuesday, 27 November 2012

Pengajaran Bahasa Melayu : Kata Nama

Latihan Penjodoh Bilangan-Bahagian 2


  1. Ayah membeli ................ pisang di gerai buah-buahan.
    1.   biji
    2.   pasang
    3.   sisir
    4.   utas
  2. Berapakah harga se ................ anggur ini?
    1.   gugus
    2.   sikat
    3.   genggam
    4.   longgok
  3. Dua .................... limau ini berharga RM10.00
    1.   bekas
    2.   longgok
    3.   kelompok
    4.   gelung
  4. Pak Tua mengikat lembunya dengan ................... tali.
    1.   untai
    2.   lembar
    3.   gelung
    4.   utas
  5. ................ orang murid mesti mematuhi disiplin.
    1.   Setiap
    2.   Tiap
    3.   Beberapa
    4.   Para-para
  6. Tiga ................. rumah kedai musnah dalam kebakaran itu.
    1.   pintu
    2.   bentuk
    3.   helai
    4.   biji
  7. Puan Shaina membelikan anak perempuannya dua ............. baju kurung.
    1.   cekak
    2.   pasang
    3.   batang
    4.   bentuk
  8. Dia memberikan ibunya se ................ cincin batu permata.
    1.   biji
    2.   buah
    3.   bentuk
    4.   batang
  9. Beberapa ................. pokok kunyit hidup subur di belakang rumah saya
    1.   cekak
    2.   helai
    3.   batang
    4.   rumpun
  10. Beberapa ................... burung sedang terbang tinggi di angkasa.
    1.   kawan
    2.   gerombolan
    3.   gugus
    4.   utas
  11. Jailani membelikan se ..................... rantai emas di kedai itu.
    1.   helai
    2.   bentuk
    3.   pasang
    4.   utas
  12. Se ............... jala tergantung di hadapan rumah nelayan itu.
    1.   rawan
    2.   kepal
    3.   bidang
    4.   gumpal
  13. Semalam kakak saya kehilangan ................ anting-anting yang baru dibelinya.
    1.   tangkai
    2.   bentuk
    3.   pasang
    4.   butir
  14. Polis melepaskan beberapa ................... tembakan ke arah perompak itu.
    1.   butir
    2.   biji
    3.   das
    4.   laras
  15. Buah durian yang besar itu mempunyai lapan ............... isi.
    1.   ikat
    2.   kampit
    3.   potong
    4.   ulas

Latihan Penjodoh Bilangan-Bahagian 1


  1. Pak Usop membawa se ............... pisang pulang dari kebunnya.
    1.   buah
    2.   tandan
    3.   ekor
    4.   biji
  2. Se .............. tembikai itu berharga RM5.00
    1.   buah
    2.   biji
    3.   ekor
    4.   pasang
  3. Johari ternampak beberapa ..................... burung hinggap di atas pokok kelapa.
    1.    tandan
    2.   sikat
    3.   potong
    4.   ekor
  4. Lima ............... kereta digunakan untuk rombongan pengantin.
    1.   biji
    2.   buah
    3.   pasang
    4.   ekor
  5. Se ................ kasut sukan Adidas berharga RM200.00
    1.   ekor
    2.   pasang
    3.   tandan
    4.   keping
  6. Se .............. pisang itu berharga RM5.00
    1.   tandan
    2.   biji
    3.   pokok
    4.   sikat
  7. Emak menghadiahkan se ................... baju kurung untuk Nadhirah.
    1.   gulung
    2.   keping
    3.   lembar
    4.   pasang
  8. Abang Lan menggali lubang dengan menggunakan se .................. cangkul.
    1.   batang
    2.   pucuk
    3.   bilah
    4.   urat
  9. Tiga ................... bunga ros menghiasi pasu kecil di atas meja itu.
    1.   jambak
    2.   helai
    3.   keping
    4.   butir
  10. Dua .................. filem digunakan untuk mengambil gambar perkahwinan Hayati
    1.   lembar
    2.   keping
    3.   buah
    4.   gulung
  11. Adik menghabiskan tiga .................... jagung dalam tiga minit.
    1.   batang
    2.   biji
    3.   butir
    4.   tongkol
  12. Tauke Lim dapat menjual lima ........... kereta sahaja untuk bulan ini.
    1.   biji
    2.   buah
    3.   gugus
    4.   tangkai
  13. Puan Umi memotong ayam dengan menggunakan se ................ pisau.
    1.   buah
    2.   pucuk
    3.   batang
    4.   bilah
  14. Polis telah menemukan se ................. pistol di dalam rumah penjenayah itu.
    1.   biji
    2.   butir
    3.   buah
    4.   pucuk
  15. Se ................... garam mesti dimasukkan ke dalam bubur untuk menambahkan keenakannya
    1.   keping
    2.   cubit
    3.   butir
            D.    biji

Tuesday, 20 November 2012

Isu Penggunaan ICT Dalam Sekolah


1. Persepsi guru terhadap kepentingan komputer
Dapat diperhatikan bahawa walaupun guru bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin P&P konvensional lebih relevan dengan sistem peperiksaan ini adalah keranan mereka lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan.

2.Kerisauan untuk menghadapi perubahan
Selain daripada sikap yang tidak menganggap ICT itu penting terdapat juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan ICT itu sendiri. Terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer iaitu takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, takut kerana mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi iaitu tahap inferior yang tinggi dan ada guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.

3. Masa dan beban tugas guru
Mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru dalam membuat persediaan. Persediaan yang diperlukan termasuk dari aspek menyediakan bahan mengajar serta untuk setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 30 waktu seminggu, adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk setup bahan mengajar di makmal komputer.
Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam. Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri (self access, self pace and self excel).

4. Kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P
Proses pengajaran memperalatkan ICT menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. Oleh kerana tidak semua bahan pengajaran tersedia untuk digunakan terus, maka guru dikehendaki menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik, tetapi keinginan guru untuk menambahbaikan bahan P & P hanya tinggal sebagai kemahuan saja kerana guru-guru kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan menggunakan komputer dalam P & P. Tambahan lagi, penggunaan komputer oleh guru adalah pada tahap yang minima sahaja iaitu sekali sekala dalam masa sebulan. Selain daripada itu, guru-guru kerap menggunakan hanya satu program sahaja iaitu pemprosesan perkataan. Guru-guru jarang menggunakan pangkalan data, persembahan mutimedia, persembahan grafik, mel elektronik dan laman web dalam pengajaran.

Kesimpulan
Integrasi ICT dalam P & P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu penglibatan pemimpin sekolah dalam membina polisi, pelan pembangunan ICT dan sokongan terhadap program pembangunan staf adalah menjadi teras utama. Sokongan dan sumbangan pihak luar harus dilihat sebagai satu peluang untuk memantapkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adalah usaha daripada semua pihak, diharapkan cabaran dan kekangan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat ditangani.



Saturday, 17 November 2012

Panas..Panas..

Assalamualaikum...

Apalah yang panas  tu ye...gosip panas kee?Amboii cikgu-cikgu...bila sebut gosip panas je terus nak melekap kat monitor yeee :P.. tak lah..mana ada gosip-gosip ni...yang sebenarnya cuaca, panas betul hari ni. Rasa macam nak berendam dalam kolam je..macam badak air tu :). Hari ni tak de selera sangat nak makan, asyik minum je, bertong-tong rasanya telan air jeee...tipulahh cikguuu oiii, mana ada sampai berrr tong.

Hari ni pun tak ke mana juga, Duduk bersantai bersama keluarga aja. Cuti panjang lagi, nanti lah pergi jalan-jalan, bawak anak-anak makan angin, Ada cadangan ke kawan-kawan tempat apa yang menarik? nanti cadang kat shout box yeee.

Oklah nak mintak diri dulu, nak ke 7 Eleven, nak beli slurpeee ! kannn panassss, ada siapa nak kirim? 


Wednesday, 14 November 2012

Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan


Mungkin musim cuti ini ada sekolah membuat kelas tambahan, gerak gempur, bengkel dan sebagainya. Selain itu, ada juga pelajar-pelajar menghadiri tusyen sebagai persediaan dan persiapan diri untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Apapun gunakan masa cuti ini sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran supaya masa tidak dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Dengan demikian, di sini saya ingin berkongsi dengan pelajar-pelajar sekalian terdapat beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti.

Antaranya ialah :

1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi peperiksaan nanti.

HURUF BESAR dan TANDA BACA


BM tahun 3 : Latihan Kata Seru


Isi tempat kosong dengan kata seru yang betul. 

Aduh             Cis            Nah            Oh             Syabas             Hai                  Wah


1.      _______________, rupa-rupanya begini cara kamu menggunakan kamera digital !
2.      _______________, berani kamu merosakkan telefon bimbit saya !
3.      _______________, kawan-kawan ! Lihatlah computer baru saya.
4.      _______________, sakitnya tangan saya kerana terkena sterika yang panas itu !
5.      _______________, ambil alat kawalan jauh kamu ini semula !
6.      _______________, kejayaan ini adalah kebanggaan untuk kita semua!
7.      _______________, berkereta besar engkau sekarang !

Jawapan :  1. Oh, 2. Cis, 3. Hai, 4. Aduh, 5. Nah, 6. Syabas, 7. Wah

BM Tahun 3 - Latihan Kata Hubung


Isi tempat kosong dengan kata hubung yang sesuai. 


kerana       sementara       sambil         tetapi         lalu         agar          sejak

1.      Syakifi berdiri ________________ menjawab soalan yang diberikan oleh Cikgu Wong.
2.      Ibu mencedok sambal _____________________ abang membungkus nasi lemak.
3.      William mandi _______________ menyanyi di dalam bilik air.
4.      Natasha suka makan ayam goring __________________ tidak suka makan sayur.
5.      Lily sangat sedih _____________ kucing kesayangannya dilanggar oleh kereta.
6.      Kita mestilah mejaga kebersihan ____________ kesihatan kita terjamin.
7.      Encik Steven cacat penglihatan ______________ terlibat dalam kemalangan.

Jawapan : 1. lalu, 2. sementara, 3. sambil, 4. tetapi, 5. kerana, 6. agar, 7. sejak