Mungkin musim
cuti ini ada sekolah membuat kelas tambahan, gerak gempur, bengkel dan
sebagainya. Selain itu, ada juga pelajar-pelajar menghadiri tusyen sebagai
persediaan dan persiapan diri untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Apapun
gunakan masa cuti ini sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran supaya masa
tidak dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Dengan demikian, di sini saya ingin berkongsi
dengan pelajar-pelajar sekalian terdapat beberapa tip sebagai persediaan
menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti.
Antaranya ialah :
1. Semak
jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup
untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan
mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana
apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada
hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan
yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci
peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon
membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain
mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji,
terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras.
Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping
membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan
keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata
pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini,
jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi
semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek
dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak
mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon
dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk
mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia
dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang
persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan
kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa
minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara
berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang
memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota
ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula
apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun
bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa
makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat
memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu
belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah
lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat,
sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana
semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata
orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang.
Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat
dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan
keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis
khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa
batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa
dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah
itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan
dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau
dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih
dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan
tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah,
antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap
peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta
mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam
keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk
menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah
itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus
menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah
diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir
mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu,
sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan
sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan
pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam
kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda,
padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan
objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada
pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah
dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan.
Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau
khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas
peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa
mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan
anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran
terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas
soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan,
bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan
terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu,
anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh
mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya
Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa
dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang
dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan
kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya
kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata
terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai
panduan persedian dan meghadapi peperiksaan. Di harap dengan panduan tip-tip di
atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk
menghadapi peperiksaan nanti.
No comments:
Post a Comment