RPT seharusnya BUKAN DI CARI, tetapi dihasilkan
sendiri oleh kita yang mengajar
atau lebih baik oleh ahli kumpulan panitia mata pelajaran tersebut di sesebuah
sekolah. Ini bukan pendapat saya, tetapi ianya juga hasrat dan kehendak
kementerian sendiri terhadap kita. Malangnya keperluan ini jarang dapat
difahami dengan baik oleh kita sendiri untuk direalisasikan di sekolah.
Hasilnya, pengajaran kita jadi tidak berfokus dan pastinya matlamat sukar
dicapai. Buktinya berapa ramai rakan-rakan kita yang tidak mampu
menghabiskan sukatan pelajaran kurikulumnya sepanjang tahun tersebut. Setiap
tahun saya bertanyakan kepada peserta-peserta kursus yang saya hadir sebagai
penceramah, berapa ramai yang boleh dan mampu menghabiskan sukatan pelajaran
masing-masing di sekolah. Maka di situ saya dapati lebih 60% di kalangan kita
gagal! Apa puncanya? Dimana silapnya? Adakah silap kurikulum yang digubal?
Adakah silap pihak sekolah yang memberi tugas terlalu banyak kepada guru hingga
kita terlalu terbeban? Namun berapa ramai yang dapat bertanya kepada diri
sendiri,dimana silap diri kita sendiri sebagai guru hingga gagal mengajar
kesemua tajuk / sukatan yang telah disediakan. Siapa yang rugi? Sudah pasti
anak-anak didik kita. Sukatan kurikulum yang mereka perlu belajar itu adalah
hak mereka, dan mengapa kita tidak memberikan hak mereka itu sepenuhnya? Mari
sama-sama kita fikirkan.
MENGAPA?
Mengapa saya beriya-iya benar menyuruh dan
menggalakkan rakan-rakan guru merancang sendiri RPT mereka? Persoalan ini bagi saya telah saya
jawab dalam perenggan di atas. Terlalu banyak kelemahan bilamana RPT tidak
dirancang sendiri oleh guru mengikut takwim semasa sekolahnya. Akan saya
sambung penjelasannya nanti.
CUBA FIKIRKAN
Saya ingin mengajak rakan-rakan guru agar
sama-sama melihat RPT yang banyak dikongsikan merata-rata di internet. Pernah tak kita meneliti RPT tersebut
sebelum ianya kita jadikan rancangan pengajaran sepanjang tahun untuk kita? Bagi
yang meneliti dan menyesuaikan dengan takwim sekolahnya, saya ucapkan tahniah.
Tetapi dari pengamatan saya, amat jarang yang dapat meneliti RPT tersebut.
Kebanyakkannya hanya menerima bulat-bulat perancangan yang berhelai-helai
tersebut tanpa diteliti dan disemak, kemudian dicetak, dibukukan dan disediakan
dengan kemas dan cantik di dalam buku rekod mengajar masing-masing. Bila nak
buat rancangan pengajaran harian (RPH), maka kita pun terus merujuk minggu
pengajaran kita dan minggu pengajaran dalam RPT, seterusnya diadaptasikan di
dalam buku rekod mengajar. Benarkan?
Kita hanya percaya kepada yang membuat
perancangan tersebut. Bagi kita, sudah tentu yang merancang dan menyediakan RPT
ni orangnya hebat! Kalau tak hebat, tak kan dia boleh buat. Kita tak hebat
sebab kita tak boleh buat RPT sendiri. Kalau kita hebat, kita pun boleh buat
RPT sendiri macam mereka. DAN SEMEMANGNYA KITA ADALAH HEBAT! Dan sebenarnya
kita sangat mampu menyediakan RPT kita sendiri yang sama-sama hebat! Malah RPT
kita lebih baik dan boleh dituruti hingga akhir tahun dan mampu mencapai
objektif yang disasarkan. Nanti saya kongsikan rahsianya.
PENGAMATAN
Dari pengamatan saya, kebanyakkan RPT yang
dikongsikan diinternet perlu diteliti, dinilai dan diubah suai mengikut
kesesuaian kita dan bukannya diterima bulat-bulat. Saya ingin sentuh
mengapa ianya tidak boleh diterima bulat-bulat.
PERTAMA : Bilangan Minggu.
Dari beberapa RPT yang saya lihat di internet,
ada berbagai-bagai jumlah minggu yang disusun. Ada yang merancang untuk 40
minggu pengajaran, ada pula yang merancang hingga minggu maksimum iaitu 42
minggu. Dari sini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir. Adakah kita
mengajar sepanjang tahun ini selama 42 minggu? Atau 40 minggu? Atau kurang dari
itu? Cuba semak takwim sekolah masing-masing. Kerana itu saya selalu
tekankan, RPT mesti dibuat mengikut takwim persekolahan masing-masing.
KEDUA : Ikut Takwim Masing-masing.
Sememangnya RPT mesti dirancang sendiri oleh
guru atau panitia dengan berpandukan takwim sekolah masing-masing.
Ketiga : Objektif dan Sukatan
Persoalan ketiga ini adalah berkaitan dengan
satu soalan yang pernah diajukan kepada saya oleh beberapa orang guru yang
ingin belajar menyediakan RPT sendiri daripada saya. Saya puji guru ini dan
bangga dengannya. Soalannya berbunyi, "Objektif pengajaran perlu di letak
atau tidak dalam RPT?"
Bagi menjawab soalan ini, saya telah menjawabnya
dengan beberapa soalan. Sekiranya dia dapat menjawab soalan saya tersebut,
barulah saya akan menjawab soalannya. Soalan bagi jawapan soalan tersebut
ialah,
"Cuba sebutkan sebab kenapa kita semua
perlu sediakan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) atau Dokumen Standard (DS) atau
Dokumen Kurikulum (DK) dalam buku rekod pengajaran kita? Adakah ianya hanya
untuk memenuhi syarat permintaan pentadbiran agar ianya mesti ada dalam buku
rekod mengajar kita sebagai hiasan? Atau adanya dokumen kurikulum tersebut untuk
menjadi rujukan kita bila merancang sesuatu pengajaran harian? Dan bila masa
pula kita perlu merujuknya?
Saya fikir jawapan bagi soalan-soalan yang saya
baru ajukan ini boleh menjawab soalan samada perlu atau tidak kita letakkan
objektif dalam RPT kita.
Sebenarnya bukanlah menjadi satu isu atau
masalah samada kita nak menentukan objektif pengajaran dalam RPT atau
membiarkan ianya kosong dan akan ditentukan kelak ketika kita merancang
pengajaran harian. Bagi saya, tidak menentukan objektif pengajaran terlalu awal
lebih baik dan mudah malah menjadikan RPT kita lebih ringkas, fleksibel dan
mudah untuk dituruti seterusnya dapat memandu kita untuk melengkapkan
pengajaran bagi kesemua sukatan pelajaran atau tajuk pengajaran yang telah
digariskan.
Menentukan objektif pengajaran terlalu awal juga
bagi saya telah menyekat perkembangan murid-murid kita. Seandainya kita telah
memilih dan menentukan beberapa objektif yang tersusun di dalam dokumen
kurikulum untuk dijadikan objektif pengajaran kita sepanjang tahun terhadap
murid-murid ktia, bererti kita hanya meletakkan satu aras pencapaian sahaja
kepada murid-murid kita. Berbanding dengan kita membiarkan waktu yang
menentukan untuk kita menurunkan atau menaikkan objektif pengajaran kita
bergantung kepada tahap pencapaian murid-murid kita, bagi saya itu lebih baik.
Bagi saya juga, apa yang penting di dalam RPT
adalah perancangan dari sudut agihan minggu
pengajaran yang kita akan mengajar dengan tajuk-tajuk dan sub tajuk agar
kesemuanya dapat ditamatkan sebelum berlangsungnya penilaian pertengahan atau
akhir tahun, dan bukannya pada minggu akhir persekolahan yang sudah pasti bukan
minggu pembelajaran murid. Manakala objektif pengajaran bagi saya boleh dirujuk
sepanjang masa di dalam HSP atau DS sewaktu kita merancang pengajaran harian
(RPH). Dengan ini kita akan sentiasa menggunakan dokumen kurikulum sebagai
panduan untuk kita menentukan matlamat pengajaran kita dan pastinya tidak akan
jauh tersasar dari kehendak kurikulum itu sendiri. Berbanding dengan guru yang
langsung tidak pernah menyentuh dan membuka dokumen kurikulum tersebut malah
tidak tahu dan tidak faham kehendak kurikulum yang sedang diajarinya kepada
anak-anak muridnya. Buktinya, berapa ramai guru-guru tidak faham dan tidak tahu
mengajar 4 kemahiran berbahasa. Baginya murid faham dan boleh buat sudah
memadai sedangkan itu bukanlah matlamat utama kurikulum bahasa Arab yang kita
sedang laksanakan ini. Kecenderungan dalam kemahiran berbahasa itulah yang
menjadi pokok keutamaan kepada murid. Namun berapa ramai yang tidak
menyedarinya kerana jauhnya diri kita dengan dokumen kurikulum tersebut.
Akhir kata buat kali ini, saya mendoakan agar
kita semua sentiasa diberi bimbingan dalam melaksanakan amanah yang amat berat
ini. Perkongsian untuk fungsi dan manfaat yang lebih besar adalah lebih baik
dari pemberian yang tidak memberi apa-apa makna. Inilah yang cuba saya
sampaikan. Namun ramai yang tidak menyedarinya. Bagi yang faham, saya ucapkan
tahniah dan terima kasih kerana andalah guru cemerlang yang diharapkan untuk
membentuk generasi berilmu dan bertaqwa, insyaAllah. Kesungguhan itu adalah
jalan menuju keabdian pada Yang Esa. Manakala sikap sambil lewa dan acuh tak
acuh adalah jalan kematian.
***Contoh RPT saya sila klik disini untuk muat turun
No comments:
Post a Comment